Mesej utama
• Semasa dialisis (satu prosedur yang mengeluarkan bahan buangan dan lebihan garam serta cecair daripada darah apabila buah pinggang berhenti berfungsi dengan baik), jumlah garam (natrium) yang sesuai perlu dipilih untuk mencuci darah pesakit. Terlalu banyak natrium boleh menyebabkan seseorang itu dahaga dan mengakibatkan mereka minum terlalu banyak air. Malah, terlalu sedikit natrium boleh mengakibatkan kekejangan dan menurunkan tekanan darah. Kedua-dua boleh menyebabkan kerosakan pada jantung.
• Natrium rendah dalam cecair dialisis mengurangkan penambahan berat badan di antara rawatan dialisis serta mengurangkan jumlah ubat darah tinggi yang diperlukan.
• Natrium rendah dalam cecair dialisis mungkin meningkatkan struktur jantung dan menurunkan tekanan darah serta jumlah natrium dalam darah antara rawatan dialisis; tetapi mungkin meningkatkan kekejangan dan bilangan peristiwa tekanan darah rendah yang dialami oleh pesakit semasa dialisis.
Apakah isunya?
Buah pinggang mengawal keseimbangan garam dan air dalam badan melalui pengawalan pengeluaran air kencing. Apabila buah pinggang tidak lagi berfungsi, pengeluaran air kencing akan menjadi tidak mencukupi dan keseimbangan garam dengan air perlu diuruskan dengan dialisis. Doktor yang menjaga pesakit hemodialisis perlu memilih jumlah garam (natrium) yang sesuai untuk digunakan dalam cecair dialisis untuk membersihkan darah pesakit. Jika paras natrium dalam cecair ini terlalu tinggi, ia boleh mengakibatkan pesakit merasa haus selepas rawatan, minum air yang berlebihan dan menyebabkan terlalu banyak air tertahan dalam badan sehingga sebelum rawatan seterusnya, yang boleh merosakan jantung. Sebaliknya, jika paras natrium terlalu rendah dalam cecair dialisis, ia boleh menyebabkan pesakit mengalami kekejangan dan penurunan tekanan darah, yang tidak selesa serta berpotensi mengakibatkan kerosakan jantung. Paras natrium yang “sesuai” untuk cecair dialisis tidak diketahui.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui adakah penggunaan paras natrium yang rendah dalam cecair dialisis lebih baik daripada paras yang tinggi untuk mengurangkan jumlah cecair yang tertahan antara sesi dialisis, mencegah kerosakan jantung dan meningkatkan kesejahteraan keseluruhan pesakit.
Apakah yang kami lakukan?
Kami menggabungkan semua kajian tentang pesakit dirawat dengan hemodialisis di mana hasilnya dibandingkan antara pesakit yang menerima tahap natrium rendah dalam cecair dialisis berbanding dengan mereka yang menerima tahap natrium yang tinggi dalam cecair dialisis. Kami membandingkan dan merumuskan hasil-hasil kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menjumpai 17 kajian membandingkan 509 orang dewasa secara rawak yang membandingkan tahap natrium rendah dalam cecair dialisis dengan tahap natrium neutral ataupun tinggi. Tujuh kajian telah dijalankan sebelum tahun 2000, mengkaji teknik dialisis yang tidak selalu berkaitan dengan kini. Kebanyakan kajian adalah kajian silang secara rawak (di mana pesakit dibahagikan secara rawak untuk memulakan satu rawatan dalam satu tempoh lalu menukar rawatan yang lain, biasanya dengan kelewatan yang singkat antara rawatan) dan kebanyakannya hanya berlangsung untuk beberapa minggu. Penemuan utama kami ialah natrium yang rendah dalam cecair dialisis mengurangkan penambahan berat badan antara rawatan dialisis dan mengurangkan jumlah ubat tekanan darah yang diperluka, serta berkemungkinan meningkatkan struktur jantung, menurunkan tekanan darah dan mengurangkan jumlah natrium dalam cecair dialisis antara rawatan dialisis, di mana merupakan perkara yang baik. Walau bagaimanapun, intervensi ini mungkin men bilangan kekejangan dan peristiwa tekanan darah rendah dialami oleh pesakit semasa dialisis, di mana merupakan perkara yang tidak baik. Kajian-kajian tersebut tidak memberikan maklumat yang mencukupi tentang pesakit yang terlibat untuk kami mengetahui kategori pesakit yang mungkin bermanfaat dengan menggunakan cecair dialisis tahap natrium rendah, dan pesakit yang mungkin mendapat kesan buruk. Kajian-kajian tidak memberikan maklumat muktamad tentang kesan cecair dialisis natrium rendah terhadap kualiti hidup dan kelangsungan hidup pesakit.
Apakah batasan bukti?
Kami yakin bahawa natrium rendah dalam cecair dialisis akan mengurangkan penambahan berat badan antara rawatan dialisis serta mengurangkan jumlah ubat tekanan darah yang diperlukan. Kami berkeyakinan sederhana bahawa natrium rendah dalam cecair dialisis mungkin meningkatkan struktur jantung dan menurunkan tekanan darah serta jumlah natrium dalam darah antara rawatan dialisis.
Kami juga berkeyakinan sederhana bahawa natrium rendah dalam cecair dialisis meningkatkan kekejangan dan bilangan peristiwa tekanan darah rendah dialami oleh pesakit semasa dialisis. Kami tidak mempunyai keyakinan terhadap kesan natrium rendah ke atas kualiti hidup atau kelangsungan hidup pesakit.
Sejauh manakah bukti terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 1 Oktober 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).