Mesej utama
- Intervensi psikososial sokongan penyusuan susu ibu boleh mencegah beberapa kes depresi postpartum (pasca kelahiran) dalam kalangan ibu dalam tempoh 1 - 3 bulan selepas sokongan diterima dan meningkatkan tempoh penyusuan antara 7 - 12 bulan selepas sokongan diterima. Bukti adalah sangat tidak pasti tentang kesan pada kesihatan mental dan hasil penyusuan yang lain .
- Bukti sangat tidak pasti tentang kesan intervensi penyusuan alternatif (khususnya, kesedaran) terhadap depresi postpartum serta kesihatan mental dan hasil penyusuan yang lain .
- Kajian-kajian ini tidak menyatakan sebarang kesan buruk yang berkaitan secara langsung dengan intervensi, tetapi dalam kebanyakan kajian, kami tidak pasti sama ada hasil ini telah diukur.
- Lebih banyak kajian berkaitan dengan intervensi penyusuan pada masa hadapan harus dijalankan dengan sangat berhati-hati untuk mengurangkan risiko bias kajian-kajian tersebut, dan kajian-kajian ini perlu cukup besar untuk mengesan perbezaan pada kesihatan mental para ibu.
Apakah depresi postpartum?
Depresi postpartum adalah keadaan kesihatan mental yang berlaku selepas bersalin dan dicirikan dengan emosi yang tertekan atau kehilangan keseronokan atau minat dalam aktiviti untuk jangka masa yang panjang. Ia adalah satu keadaan yang boleh memberi kesan serius kepada ibu, bayi dan keluarga secara keseluruhan.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada intervensi sokongan penyusuan susu ibu yang menyasarkan depresi adalah lebih baik daripada penjagaan bersalin standard untuk mencegah depresi postpartum dan mengurangkan simptom depresi postpartum. Kami juga ingin mengetahui sama ada intervensi sokongan penyusuan susu ibu mempunyai sebarang kesan sampingan yang memudaratkan .
Apakah yang kami lakukan?
Pada Jun 2024, kami telah melakukan ulasan literatur tentang kajian rawak terkawal (kajian dimana peserta diletakkan sama ada dalam kumpulan intervensi atau kawalan secara kebetulan) untuk melihat sama ada intervensi sokongan penyusuan boleh mencegah depresi postpartum. Ulasan kami merangkumi 10 kajian, dimana sembilan ibu yang dinilai telah menerima sokongan psikososial (gabungan pendidikan, bantuan psikologi dan sokongan sosial) dan seorang ibu yang dinilai telah menerima intervensi untuk mengurangkan tekanan dan mengalakkan ketenangan. Secara keseluruhan, 10 kajian tersebut disertai oleh 1573 peserta dan telah dijalankan di enam negara berbeza : dua di AS, dua di Kanada, tiga di China, satu di Iran, satu di Sepanyol, dan satu di Afrika Selatan.
Kami ingin mengetahui sama ada intervensi penyusuan boleh mencegah depresi daripada berkembang atau mengurangkan simptom depresi, dan sama ada terdapat sebarang kesan sampingan yang memudaratkan. Kami juga ingin mengetahui sama ada intervensi penyusuan boleh memberi kesan kebimbangan dan tekanan pada para ibu, tempoh masa ibu menyusu dan sejauh mana mereka berpuas hati dengan penyusuan, serta berapa ramai bayi yang hanya diberi susu ibu.
Hasil utama
Kami memasukkan 10 kajian yang melibatkan 1573 ibu dalam ulasan ini. Sembilan daripada kajian yang terlibat menguji intervensi psikososial penyusuan dan satu menguji intervensi penyusuan alternatif.
Intervensi psikososial penyusuan boleh mencegah beberapa kes depresi postpartum apabila diukur sejurus selepas sokongan diberikan. Walau bagaimanapun, ianya adalah sangat tidak pasti sama ada intervensi psikososial penyusuan mempunyai sebarang kesan ke atas pengurangan simptom depresi.
Intervensi psikososial penyusuan boleh mengurangkan gejala kebimbangan, walaupun bukti adalah sangat tidak pasti. Kami tidak menemui perbezaan antara ibu yang menerima dan yang tidak menerima intervensi sokongan penyusuan dari segi sama ada mereka memberi susu ibu kepada bayi mereka secara eksklusif (seperti yang disyorkan sehingga enam bulan). Bukti untuk hasil ini juga sangat tidak pasti. Kami menemui bukti kepastian yang rendah bahawa intervensi psikososial penyusuan boleh meningkatkan tempoh penyusuan dalam jangka panjang. Kajian-kajian ke atas intervensi psikososial penyusuan tidak mengukur tekanan.
Ianya adalah sangat tidak pasti sama ada intervensi sokongan penyusuan alternatif, khususnya keprihatinan, mempunyai sebarang kesan ke atas mencegah depresi atau mengurangkan kebimbangan atau tekanan. Penyusuan secara ekslusif dan tempoh penyusuan tidak diukur.
Tiada kesan memudaratkan yang berkaitan dengan mana-mana intervensi dilaporkan. Bagi kebanyakan kajian, kami tidak tahu sama ada ini adalah kerana kesan yang memudaratkan adalah tiada atau kerana ia tidak diukur atau dilaporkan.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Bukti untuk intervensi sokongan penyusuan untuk mencegah depresi postpartum adalah terhad. Dapatan bahawa intervensi psikososial penyusuan boleh mencegah beberapa kes depresi postpartum sejurus selepas sokongan diberikan adalah daripada satu kajian kecil. Kami menganggap penemuan ini sebagai 'kepastian rendah'. Bukti bahawa intervensi sokongan penyusuan boleh meningkatkan tempoh penyusuan juga adalah daripada satu kajian dan mempunyai 'kepastian rendah'. Untuk semua hasil yang lain, bukti adalah sangat tidak pasti.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah berdasarkan carian ke atas kajian-kajian yang dijalankan pada Jun 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (International Medical University). Ditsunting oleh Kamisah Arififn (Universiti Teknologi MARA).